SIRI 28 YTDT
Yang
Semput Dan Sempit
Upacara
perasmian mentohmah Mahfuz Omar melancarkan gerakan Intifada yang dilakukan oleh
Paklah dan Najib serta penerangan mengenainya oleh Senator Zainuddin Maidin di
Dewan Negara, belum pun berusia satu minggu. Kini sudah diisytiharkan pula satu
lagi sandiwara terbaru yang lebih hebat, lebih padat dan lebih bermuslihat.
Ia akan mengalihkan perkara intifadhah, kisah perdebatan mega UMNO-PAS dan segala
kepincangan ekonomi negara yang semakin genting.
Sekaligus nama GPMS
(Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) menjadi tanda tanya ramai rakyat negara ini.
Oleh kerana namanya (GPMS) sungguh gah, tiba-tiba nama insan yang
menjadi presidennya mencetuskan banyak soalan lagi. Siapakah Dato Suhaimi
Ibrahim yang menjadi presiden GPMS itu? Bagaimanakah dia boleh menjadi presiden
sebuah persatuan pelajar? Siapa pula yang memberinya gelaran Datuk itu dan apakah
jasanya menerima gelaran ‘datuk’? Apabila diberitahu Suhaimi adalah anak
Pahang, ada pula bertanya: “Itu datuk betul ke ataupun datuk celup?” Saya
terkejut dengan soalan yang terakhir itu tetapi faham apabila ada orang yang
memberikan penerangan lanjut mengenainya; “Di Pahang orang biasa pun boleh
diberi gelaran Tengku apa lagi dengan pangkat ‘datuk’. Ingat cerita Datuk
Wong?....dan jangan lupa sejarah Melayu: ‘Lanun’ hari ini boleh jadi ‘Temenggong’
dan ‘Raja’ esok hari”
Banyak lagi soalan yang dikemukakan kepada saya
kerana ramai kawan-kawan yang sedar bahawa saya satu ketika dulu memang menjadi
ahli GPMS yang sungguh aktif. Tetapi itu cerita lama dan kalau dikenang
kisah lama memang saya masih teringat bagaimana kami berjalan kaki dari satu
desa ke satu desa, hampir satu bulan lamanya; meminta tandatangan golongan
ibu-bapa untuk menyokong memorandum yang akhirnya kami kemukakan kepada Menteri
Pelajaran ketika itu, Dato Abdul Rahman Talib (bapa kepada Dato’ Fauzi,
Kuantan). Kami mendesak agar kerajaan membuat penentuan semoga jawatan guru asrama
penuh diberikan kepada guru yang beragama Islam. Usaha itu saya lakukan hanya
dengan bantuan empat insan lain, kerana kami berpendapat ramai pelajar Melayu yang
tinggal di asrama ketika itu teraniaya. Kami tidak dibenarkan nasi tambah dan
dimestikan keluar daripada asrama pada hari akhir sekolah. Ini amat menyulitkan,
kerana pada waktu itu perjalanan bas untuk pulang ke kampung adalah amat
menyulitkan. Kami bertindak itu hanya selepas negara mencapai kemerdekaannya pada
tahun 1957 dan menggunakan nama GPMS sebagai topeng semata-mata, untuk
memperkuatkan usaha sahaja.
Kami terdesak ketika itu dan tidak dapat
bersabar lagi. Guru asrama kami memang zalim. Dia tidak membenarkan pelajar
menikmati makanan mereka. Hanya satu pinggan nasi yang dibenarkan.
Kami dikerah mengosongkan asrama di hari akhir sekolah kerana dia mahu membuat
persediaan menjual segala stok barang makanan kering yang tersimpan di dalam setor.
Kami berjaya dengan permintaan itu dan sejak itu kami berjaya juga mendapatkan
seorang ustaz datang ke asrama mengajar Fardu Ain. Itulah cerita pada Disember
1957, yang melakar sejarah penentuan siapa yang sepatutnya menjadi guru asrama
pelajar-pelajar di negara ini. Kami melaksanakan itu tanpa sebarang bantuan
wang daripada parti politik. Hanya dorongan yang dilakukan oleh dua orang guru
Melayu yang baru pulang daripada Brinsford dan seorang operator telefon yang
mempunyai sebuah kereta Morris Minor.
Dua orang guru itulah yang membiayai
kos minyak kereta yang kami gunakan untuk menemui orang kampung. Kini, mereka
sudah pencen dan menjadi orang bergelar dan Allah telah memberi rezeki yang
melimpah-ruah kepada mereka sehingga mereka mampu mendapatkan ijazah kedoktoran di
luar negara. Operator telefon itu akhirnya menjadi seorang
berpangkat tinggi dan merupakan anak Melayu pertama yang memakai
kereta ‘Jaguar’ tanpa perlu menjadi wakil rakyat ataupun orang politik. Semoga
Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Apabila kami fikirkan peranan
sebagai pemimpin pelajar ketika itu, tidak pun terlintas untuk melakukan kerja-kerja
yang hebat seperti mengugut orang lain selama satu bulan untuk menarik balik
tuntutan mereka kepada kerajaan, dan mengugut pula untuk melancarkan satu ratus
tuntutan sebagai balasan. Apatah lagi untuk menghimpunkan satu ratus ribu orang
Melayu untuk berarak sebagai bantahan.
Teman-teman saya
menjerit kesukaan membaca ura-ura GPMS itu. Saya tanya kenapa? Mereka jawab:
“Inilah baru betul......jangan setakat berdiri di atas tembok dan melaung tak
tentu pasal ataupun setakat menuding jari di muka orang yang berlemah
lembut....!!!!”
GPMS Terima Sokongan Padu
Mengikut lapuran
akhbar, GPMS menerima sokongan padu dalam usahanya itu. Pelbagai pertubuhan
dikatakan sudah pun menyokong mereka. Antaranya ialah pemandu teksi, tukang
gunting, peniaga, penjaja, persatuan penduduk dan pertubuhan belia,
pasukan Wira bakti Kebangsaan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Kelab
cinta Malaysia. Suhaimi Ibrahim merancang untuk mengumpulkan 100,000 umat
Melayu disamping mengemukakan 100 tuntutan kepada kerajaan demi kepentingan
orang Melayu.
Belum pun sempat Suhaimi memanggil 200 pertubuhan Melayu
menyertai perjumpaan yang akan diadakan, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia
(PESAKA) sudah pun bersedia untuk mengerah tiga juta pesilat
(Sila baca: Pesaka Sedia Kerah Tiga Juta Pesilat – Mingguan Malaysia Ahad
17.12.2000) di seluruh negara untuk menyertai perhimpunan itu. Setiausaha Agong
Pesaka telah dipetik sebagai berkata: “Pesilat-pesilat Melayu tidak gentar
untuk mempertahankan hak mereka daripada ancaman mana-mana pihak dan ini telah
dibuktikan sejak sekian lama seperti memperjuangkan kemerdekaan negara. Bagi
kita Suqui tidak sepatutnya mula bermain api serta sanggup menjolok sarang tebuan.
Jika mereka terus berdegil, kami sedia turun padang menyertai perhimpunan pada
bila-bila masa sahaja. Pesaka memandang serius sikap biadap pelampau Cina dan
tidak akan memandang ringan mengenainya. Kita lihat Suqui nampak
bersungguh-sungguh dan sanggup bersikap biadap terhadap Perdana
Menteri dalam tuntutan mereka. Kami sedia bangkit untuk mempertahankan maruah
bangsa. Kami tidak akan berdiam diri.” Kepada Pesaka kita syorkan bersabar dulu
dan jangan panas baran tidak menentu. Malu, orang Melayu...!!!! Jangan mudah
cakap kosong kalau cakapan itu tidak berasaskan fakta. Teliti dulu segala fakta
agar tidak terjebak dalam perangkap pembohongan mega.
Kalau 20,000 pesilat
Melayu daripada 380 pertubuhan menyokong GPMS, bererti Suhaimi akan mampu
menyediakan lebih 100,000 orang Melayu berhimpun menyanggah Suqui. Kalau 200
pertubuhan Melayu yang akan menghantar wakil turut berhimpun dan
berarak itu, ini bermakna GPMS boleh mengajak sama penaja Guinness Book of Record
untuk mencatatkan upacara itu sebagai terbesar di negara ini. Kalau PESAKA sedia
membantu, perhimpunan GPMS itu akan menandingi ‘The Million March” yang
ditaja oleh Farkahan di Amerika satu ketika dulu. Ini bererti pada hari
perhimpunan itu nanti, negara ini akan lumpuh selumpuhnya. Bayangkan, kalau
persatuan teksi ikut serta, pergerakan teksi akan tergendala. Tukang gunting akan
berhenti berniaga, penjaja akan menutup gerai mereka. Para peniaga akan menutup
perniagaan mereka dan persatuan penduduk dan persatuan belia akan turut serta dan
terpaksa juga bercuti daripada pekerjaan mereka. Dengan lain perkataan GPMS akan
melakar satu sejarah besar di mana seluruh dunia dan negara akan lumpuh dibuatnya.
Tetapi, itu semua impian sahaja dan tidak lebih daripada satu sandiwara lagi.
Soalnya sekarang berapakah ‘fulus’ yang sudah menunggu untuk diluluskan?
Berbaloikah
Itu Semua?
Saya mengajak semua rakyat yang cintakan negara ini menilai
fakta ini dulu:
- Asal usul tuntutan Suqui bermula sebelum
pilihanraya umum 1999 dulu. Ketika itu, Suqui menyerahkan satu memorandum 17
perkara (yang mengandungi 83 tuntutan) kepada Perdana Menteri. Antara
tuntutan Suqui yang dianggap ekstrim (mengikut catatan U.Melayu) ialah:
- Di bawah tajuk menggalakkan perpaduan,
Suqui meminta dimansuhkan perbezaan bumiputera dan bukan bumiputera dalam
semua bidang;
- Demi mempertahankan Hak Asasi Manusia dan
Menegakkan Keadilan, Suqui meminta dipinda Akta Kesatuan Sekerja, Akta
hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Polis dan Akta Universiti dan
Kolej Universiti supaya selaras dengan piawaian hak asasi manusia dan mempertahankan
kebebasan bercakap, perhimpunan dan persatuan;
- Di bawah tajuk Laksanakan Dasar
Ekonomi yang ‘ADIL’, Suqui meminta diberikan bantuan secara adil dan
mencukupi kepada semua sektor termasuk industri penternakan babi. Sistem
kuota yang berasaskan ‘kaum’ hendaklah dihapuskan dan digantikan
dengan sistem pengagihan yang berasaskan ‘kebolehan’ (means tested
sliding scale);
- Dalam tuntutan Laksanakan Dasar Pendidikan
yang progresif dan liberal, Suqui meminta dibatalkan rancangan Sekolah
Wawasan dan hentikan perlantikan guru-guru yang tidak berkelayakan bahasa
Cina untuk memegang jawatan–jawatan tinggi di sekolah rendah Cina untuk
memastikan sifat dan cara pendidikan di sekolah rendah Cina tidak diubah.
Kuota untuk kemasukan ke universiti pun hendaklah dihapuskan;
- Di bawah perkara Lindungi Alam Sekitar
Suqui mahu kerajaan turut mengindahkan kawasan-kawasan
perkuburan dan pastikan kawasan tersebut tidak dipindah untuk tujuan
pembangunan. Dalam usaha memodenisasikan dan membangunkan kampung baru,
Suqui mendesak kerajaan memastikan semua penduduk perkampungan baru diberi
hak milik tanah dengan segera.
Demikianlah antara tuntutan yang dianggap ekstrim.
Yang tidak ekstrim itu tidak perlu dicatatkan walaupun ada tuntutan yang
mengambil kira pembangunan masyarakat orang Asli.
- Tuntutan Suqui itu sudah pun berusia lebih
satu tahun. Ia telah diladeni dengan berhemah oleh pihak BN dengan mengambil
kira adanya beberapa tuntutan yang dianggap keras dan kasar. Namun,
Presiden MCA telah berkata bahawa 83 tuntutan dalam 17 perkara itu boleh
dibincangkan secara terbuka kerana adanya 83% di antaranya yang memang boleh
dibincangkan. Kenyataan presiden MCA itu dibuat kelmarin, bersamaan satu
tahun setengah selepas Perdana Menteri menerima Memorandum tersebut.
- Perdana Menteri telah berusaha untuk
mengendurkan keadaan dengan bertemu dengan Ahli Jawatankuasa Suqui dan
menyatakan betapa memorandum itu telah dibincangkan dalam kabinet untuk
pertimbangan. Pada dasarnya ketika itu Tuntutan Suqui itu dianggap
sebagai satu tuntutan mencekik leher kerana ia boleh menggugat kemenangan BN
di pemilu November dulu. Kerana itu tuntutan itu diterima secara prinsip
pada 23 September 1999. Ini bererti penerimaan itu dibuat secara prinsipnya
dua bulan sebelum diisytiharkan hari penamaan calon Pemilu 1999 itu.
- Perdana Menteri dan juga pemimpin MCA dan
Gerakan serta pucuk pimpinan UMNO tidak pun membesar-besarkan tuntutan Suqui
itu untuk hampir sepuluh bulan. Ketika episod Al Ma'unah meledak pada
awal Julai 2000, Suqui tidak pun dikaitkan dengan sikap yang diambil oleh
pemimpin Al Ma'unah itu. Malahan, tuntutan Suqui itu berjaya diperam oleh BN
ketika pilihanraya kecil di Sanggang, di Teluk Kemang dan juga di Lunas.
Yang muncul di Lunas hanya konsep Sekolah Wawasan. Tuntutan Suqui tidak
menjadi faktor utama, kerana Perdana Menteri pun kerap meletakkan kekalahan
kepada ‘Faktor Pembangkang Yang bertindak Ganas menghalau Bas Yang Membawa
Pelancong’. Bas itu sebenarnya membawa pengundi hantu, tetapi oleh kerana
terkejut dan sudah semakin semput, perdana menteri mengatakan bahawa “yang
datang itu adalah para penyokong Barisan Alternatif.”
- Pada 31 Ogos 2000, Perdana Menteri ada membuat
ucapan ulang tahun kemerdekaan negara yang bertajuk “Tentang Tuntutan Ekstrim”.
Di sini dia ada menyentuh nama Suqui dan eloklah kita ulang-tulis
sebahagian ucapan beliau itu:
...... “Oleh kerana ternampak
seolah-olah kerajaan yang diketuai oleh orang Melayu sudah menjadi lemah
maka puak ekstrim Cina yang memang pun tidak senang hati dengan
kerjasama berbagai kaum di Malaysia ini sudah mula menyakitkan hati orang
Melayu dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan. Tindakan mereka tidak banyak
berbeza dengan tindakan Komunis dahulu yang hendak menghapuskan sama sekali
kedudukan yang istimewa orang Melayu di Malaysia ini.
“Daripada segi
pendekatannya, Suqui (Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan
cina) ini adalah sama dengan Al Ma'unah, iaitu cuba menyakitkan hati orang
tertentu, supaya perasaan perkauman dihidupkan semula.
“Serangan Al Ma'unah
dan Suqui akan merosakkan hubungan baik antara kaum yang telah diusahakan oleh
kerajaan. Jika akhbar Cina yang suka menimbulkan perasaan tersalah di kalangan
orang cina yang sederhana dan laman-laman fitnah yang terdapat dalam Internet
yang diusahakan oleh orang Melayu, berjaya mempengaruhi kedua-dua kaum ini,
maka kerjasama antara kaum akan diganti dengan konfrontasi yang akan menggugat kestabilan
dan keamanan negara.
“Saya ingin merayu kepada puak ekstremis ini,
daripada kedua-dua kaum supaya menghentikan bermain dengan api
perkauman. Saya juga ingin memperingati semua pihak bahawa kerajaan ini
bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kemajuan negara ini. Kerajaan ini
tidak takut dicemuh oleh media asing dan kuasa-kuasa besar di dunia apabila
keselamatan dan keamanan dalam negara diancam. Kita tahu siapa orang asing
ini. Mereka terlibat secara langsung dari dahulu sehingga sekarang
dengan jenayah antarabangsa yang meragut nyawa ratusan ribu orang yang tidak
berdosa dan menyiksa berjuta orang lain. Sekatan yang dikenakan oleh mereka
dan tindakan mengebom sasaran tertentu oleh mereka mencabul hak asasi manusia
dengan lebih teruk berbanding dengan tahanan di bawah ISA.
“Lagipun,
pertuduhan dalam mahkamah juga tidak akan menghentikan cemuhan mereka. Mereka
tetap menuduh kehakiman kita berat sebelah. Sama ada kita guna ISA atau
mahkamah adalah hak dan pilihan kita. Kita yang akan menjadi mangsa
rusuhan, bukan mereka. Kerajaan ini tidak berminat untuk dipuji oleh
orang asing. Tanggungjawab kita ialah kepada rakyat yang memilih kita, iaitu
majoriti rakyat Malaysia. Pemerintahan ini akan menentukan negara ini terus
stabil dan aman supaya rakyat akan hidup sempurna, supaya wang rakyat
digunakan untuk membangunkan rakyat dan negara.
“Kita akan terus
memerintah mengikut undang-undang dan lunas-lunas demokrasi yang membolehkan
rakyat memilih kerajaan berasaskan kepada penilaian tentang kebolehan parti-parti
yang bertanding.
“Kita akan melawan habis-habisan penyalahgunaan
agama bercampur fitnah untuk membangkitkan kebencian sebagai cara memancing
undi. Kita akan memelihara kesucian agama Islam dengan mengembangkan
ajaran Islam yang tulen. Kita akan melawan percubaan mencetuskan rusuhan kaum
melalui tuntutan yang ekstrim. Kita akan memelihara hak semua kaum seperti
yang termaktub dalam Perlembagaan negara kita.
“Kita tidak akan
tunduk kepada orang asing, agensi-agensi mereka dan media mereka walau apa pun
tekanan yang ditujukan kepada kita dan negara kita.
“Malaysia adalah
sebuah negara yang merdeka dan bebas. Pada hari kita merayakan kemerdekaan
kita yang ke-43 tahun, marilah kita berbangga dengan kecapaian kita sehingga
kini, marilah kita bersepadu, bumiputera dan bukan bumiputera, Melayu dan
bukan Melayu, marilah kita pelihara maruah dan kehormatan kita, marilah kita
berganding bahu, menguasai semua ilmu dan bekerja keras untuk memajukan
bangsa, negara dan agama kita, supaya negara kita terus merdeka, bebas,
berdaulat dan dihormati oleh seluruh dunia..........”
Impak Pembohongan Besar Raja Kelentong
Ucapan
ini dibuat pada 31 Ogos, 2000. Ia mengungkit Al Ma'unah dan Suqui. Mengikut
penelitian saya, Al Ma'unah dicetuskan untuk memberi oomph kepada ucapan ulang tahun
kemerdekaan. Episod Al Ma'unah adalah penting untuk memberi satu ‘buffer’
kepada Mahathir menghentam Suqui. Dia tidak berani menghentam Suqui secara ‘solo’
kerana takutkan bahana dan reaksi balas masyarakat Cina. Kalau dia berani
melakukannya tentu dia sudah membangkitkan hal Suqui itu pada ucapan Tahun Baru
2000. Lagipun dia tidak boleh melakukan hentaman terhadap Suqui kerana
kabinet sudah menerima secara prinsipnya tuntutan Suqui itu pada 23 September
1999.
Mungkin ada yang terasa terusik apabila saya ulangkan bahawa Episod
Al Ma'unah satu sandiwara. Dalam hal ini saya mengajak saudara yang terguris itu
menilai semula lapuran Memali di mana jelas menunjukkan betapa pasukan yang diarah
menggempur rumah Al Syahid Ibrahim Libya telah diberitahu bahawa mereka akan menggempur
kem komunis. Sebelum itu mereka telah diberi jamuan sakan di mana minuman
keras diagihkan secara bebas.
Yang paling afdhal sekali buatlah lawatan ke
rumah balu beliau yang ditandakan dengan tanda batu kilometer 9 sebelum Baling.
Lihatlah sendiri pangkal pokok kelapa berlubang di halaman rumah itu. Perhatikan
pula bagaimana Ibrahim Libya tumbang kerana serangan peluru bertalu-talu. Selepas
itu pergilah ke Parit Panjang dan ziarahilah kubur yang menanamkan 13 daripada 14
insan yang tidak berdosa itu.
Setiap kali Mahathir menyebut Al Ma'unah,
dia lupa kes Al Ma'unah belum pun diselesaikan oleh mahkamah. Bukankah perbuatan
beliau itu satu penghinaan kepada mahkamah. Bukankah beliau mengaibkan ahli keluarga
mereka yang dituduh sebagai pengkhianat dan penderhaka negara itu. Begitu juga
halnya dengan keluarga mereka yang terbunuh di Memali dulu. Kes mahkamah mereka
masih tertangguh lagi.
Dalam hal ini saya sendiri pun hairan bagaimanakah
PESAKA sanggup merelakan diri mereka untuk turut berdemonstrasi dengan GPMS
sedangkan di mahkamah masih ada lagi satu kumpulan ahli pengamal ilmu
silat yang sedang diadili? Kenapakah PESAKA tidak berbuat sesuatu untuk meringankan
penderitaan ahli keluarga mereka yang dituduh itu? Adakah PESAKA melancarkan satu
tabung khas mengutip derma membantu ahli keluarga Al-Ma'unah yang tertekan
hidupnya kerana si bapa yang sudah lama terpenjara? Bagaimanakah anak-anak mereka
menghadapi musim puasa dan hari raya? Bagaimana pula mereka akan menghadapi
musim sekolah yang baru?
Kalau kita teliti ucapan yang dibuat oleh
Setiausaha Agung Pesaka Megat Dzainuddin Datuk Omar Din, kita boleh buat andaian
betapa beliau tersilap congak kerana tersilap dengar, ataupun tersilap tafsir
kerana tersilap terima........ maklumat.
Salah satu petua ilmu silat
ialah membatu dan membisu sehinggakan pergerakan nafas pun disembunyikan
untuk menilai kewujudan dan kekuatan lawan. GPMS baru sahaja berura-ura
menghubungi “ 200 pertubuhan Melayu menyertai perjumpaan yang akan
diadakan bulan depan...” Ini bererti gelanggang untuk berjuang belum disiapkan
lagi, tetapi PESAKA sudah gelabah tak tentu diri. Kita tidak salahkan Megat
Zulkarnain ini kerana dia masih muda lagi. Tetapi kita salahkan Suhaimi Ibrahim
kerana sanggup membuka gelanggang yang tidak perlu. Apakah tujuan beliau
membesar-besarkan satu kes yang dianggap oleh majoriti orang Cina dan penduduk
Melayu sebagai satu acahan sahaja?
Bila Cina Acah Melayu Gelabah
Pada
31 Ogos 2000 di muka surat 10 Berita Harian, seorang penulis cina bernama L.C.
Fang ada menulis satu artikel berjodol “Melihat Isu hak Melayu Dari Aspek
Budaya.” Artikel ini pernah ditulis semula oleh Mat Teropong untuk dimuatkan
dalam internet. Bacalah kembali artikel yang sungguh bermakna itu. Di situ kita
akan faham bahawa apa yang berlaku sekarang ini adalah impak pembohongan besar
yang dilakukan oleh Mahathir bin Mohammad selama ini. Dia telah memeram Laporan
Tuntutan Suqui sehinggakan rakyat terutama sekali orang Melayu tidak tahu bahawa
dia sudah mendapatkan persetujuan kabinet secara prinsipnya menerima segala
tuntutan itu pada 23 September 1999.
Pada 23 Ogos 2000 (hampir satu tahun
kemudiannya) Mahathir telah membuat satu kenyataan di Maputo, Mozambique di
mana dijelaskan perkara itu:
....... “Saya sudah menerima penjelasan
beliau (Datuk David Chua) dan tidak mahu perkara itu dibesarkan. Saya cuma kata,
lain kali jangan cakap begitu kerana ini benda sensitif.”.......
David
Chua ialah ahli majlis tertinggi MAPEN (II) yang dikatakan mengungkit Hak
Keistimewaan Orang-Orang Melayu. Tindakannya itu telah memberi semangat kepada
seorang proksi pemimpin Melayu memanjat tembok Dewan Perhimpunan Cina dan
memberikan amaran agar masyarakat Suqui tidak menjolok sarang tebuan.
Kini,
peranan mengugut itu telah diambil alih oleh GPMS melalui Suhaimi Ibrahim.
Dia juga sudah memberikan tempoh satu bulan untuk Suqui menarik balik tuntutan
mereka. Jika tidak, GPMS akan mengemukakan 100 tuntutan sebagai balasannya kepada
kerajaan.
Kalau Otak Sudah Sempit
Tindakan Suhaimi Ibrahim
dan GPMS amat memalukan saya. Malahan, ramai orang melayu yang merasa malu kerana
tindakan itu melambangkan betapa sempitnya seorang pemimpin pelajar Melayu di
negara ini. Malahan itu juga melambangkan betapa sempit ramai pemimpin Melayu di
negara ini, tidak kiralah sama ada memimpin parti politik seperti UMNO ataupun
pertubuhan silat seperti PESAKA.
Inilah yang saya sebut sebagai projek
hangat-hangat tahi ayam. Semalam saya lembutkan sindiran itu dengan menyebut
hangat-hangat pulut panggang. Mungkin sindiran berupa nasihat tidak membawa kesan.
Kali ini kita menyindir keras secara berdepan. GPMS akan diiktiraf sebagai satu
kumpulan kera sumbang, seandainya Suhaimi Ibrahim melancarkan demonstrasi terhadap
Suqui.
- Kerajaan melalui satu persidangan kabinetnya
sudah pun menerima secara prinsip, tuntutan yang dikemukakan oleh Suqui;
- Mahathir sebagai perdana menteri
Malaysia telah menerima penjelasan David chua yang dikatakan sengaja diputar belit
oleh akhbar media perdana. Dia tidak pernah memperlekehkan Hak
Keistimewaan melayu. Yang memperlekehkan kisah itu ialah Utusan Melayu, kerana
mahu lariskan akhbar mereka, mungkin.
- Isu Suqui dibangkitkan semula oleh Mahathir
ketika membuat ucapan Ulang tahun Kemerdekaan ke- 43 dulu. Dan dia hentam
Suqui sambil dia hentam Al Ma'unah. Dia tuduh Suqui kerana
mempunyai segi pendekatan yang sama dengan Al-Ma'unah, “iaitu cuba
menyakitkan hati orang tertentu, supaya perasaan perkauman dihidupkan semula”.
- Mahathir setuju agar kabinet menerima
memorandum yang dikemukakan oleh Suqui. Di waktu yang sama dia menyebut bahawa
“tindakan mereka itu tidak banyak berbeza dengan tindakan Komunis
dahulu yang hendak menghapuskan sama sekali kedudukan yang istimewa orang
Melayu di Malaysia ini.”
- Mahathir mempertahankan segala bentuk
undang-undang drakonian yang diperkenalkan oleh penjajah dulu. Di waktu yang
sama dia mengutuk segala bentuk penjajahan di dunia ini.
Apa yang berlaku kini, hingga membabitkan hampir 200
pertubuhan Melayu adalah satu drama terbesar sebelum Hari Raya Puasa. Suqui adalah
satu gagasan yang mewakili 2,200 pertubuhan Cina di negara ini. GPMS melalui
Suhaimi Ibrahim akan dapat banyak ‘mileage’ dalam perkara ini. Tetapi, di
waktu yang sama ‘mileage’ yang diharapkan itu akan pupus dalam waktu yang
singkat kerana faktor pulut panggang yang amat jelas dalam hal ini. Apakah
Suhaimi Ibrahim fikir, masyarakat Melayu di negara ini sudah bacul sehinggakan
tuntutan Suqui yang dikemukakan pada tahun yang lalu itu sesuatu yang amat
berbahaya untuk dibiarkan begitu saja?
Suhaimi Ibrahim sebenarnya memalukan
nama orang Melayu dengan ura-uranya itu. Pendekar tulen Melayu tidak pernah
memberi amaran, dia bertindak bila perlu dan kalau diperlukan. Tindakan membuat
tuntutan sehingga 100 jenis banyaknya adalah satu lelucon sahaja. Ini bererti
seluruh perlembagaan negara itu perlu dirombak semula ataupun dilakukan pindaan
yang besar terhadapnya.
Suhaimi sudah pun mengeluarkan kata-kata ugutan
kepada masyarakat Cina dengan memberi tempoh untuk mereka meminta maaf. Ini
juga gelagat Aziz Sikh satu ketika dulu. Apakah masyarakat Cina akan meminta maaf,
sedangkan tuntutan mereka itu sudah diterima oleh kabinet satu tahun yang lalu.
Gelagat
Suhaimi sebagai pemimpin pelajar di negara ini dan juga gelagat Aziz Sikh sebagai
wakil masyarakat pemuda Melayu yang suka berpolitik adalah satu gelagat yang layak
dilaksanakan dalam filem komidi sahaja. Ia tidak beralaskan hakikat
hidup di bumi nyata. Ini merupakan sindrom ugut-mengugut yang diamalkan oleh UMNO
selama ini. Pemimpin UMNO selalu berkata: UMNO akan terus berkuasa kerana sokongan
padu orang Melayu....” Tetapi kini, orang Melayu sudah tidak menyokong UMNO
lagi.
Taktik budaya menakutkan itu sudah menjalar kepada parti komponen BN
yang lain. Pada 10 Disember, menteri kesihatan, Dato Chua Ju Meng ada mengugut
orang Cina dengan berkata; “Warga Cina Hilang Hak Jika Pembangkang Memerintah”
....
“Masyarakat Cina akan semakin kehilangan hak dan tidak akan dipedulikan lagi.
Mereka terpaksa berhijrah ke negara lain untuk mencari penghidupan. Keadaan ini
berlaku di kebanyakan negara yang menjadikan agama sebagai alat untuk
menjadi parti pemerintah. Keadaan yang sama sudah berlaku di Kelantan dan
Terengganu kerana banyak rakyatnya terpaksa berhijrah ke tempat lain dan hak
masyarakat Cina semakin diabaikan. Di Lunas, PAS menjadi pendokong utama kepada
Keadilan untuk merampas kerusi tradisi DAP sebelum ini sehingga DAP
kehilangan hak untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri
itu bulan lalu”.........
Oleh kerana Mahathir berbohong selalu, hampir
semua pemimpin parti komponen BN pun gemar berbohong. Pembohongan besar
sudah menjadi sebahagian darah daging pemimpin BN itu. Kalau kita teliti ucapan
Chua itu memang jelas sangat putar belitnya. Dia salahkan parti pembangkang kerana
ramainya orang Cina yang berhijrah ke luar negara. Tetapi dia tidak pernah ungkit,
sebab utama orang Cina berhijrah ke luar negara ialah masalah persekolahan
anak-anak yang mampu meraih simpati institusi amal dan gereja besar di luar
negara. Ramai orang Cina yang berhijrah ke luar negara mendapatkan status penduduk
tetap dan tidak pula membuang kerakyatan Malaysia. Mereka lakukan ini untuk
mencari peluang niaga yang lebih mudah di luar negara dan mengumpulkan harta
sehingga anak-anak selesai bersekolah. Selepas itu mereka pulang balik ke Malaysia
menjadi golongan yang sudah kaya raya.
Lagi satu faktor yang mendorong
masyarakat Cina berhijrah ialah kemampuan untuk hidup selesa tanpa mengikut rentak
budaya Cina lama. Di negara asing mereka tidak perlu membeli kereta mewah untuk
ditayangkan sebagai lambang kekayaaan yang ada. Mereka tidak perlu membina rumah
besar-besar sebagai lambang mereka sudah berjaya, seperti di Malaysia. Yang lebih
penting lagi mereka merasa selesa dan selamat hidup di negara di mana tidak ada
undang-undang drakonian serta kebebasan untuk membaca apa yang mereka suka. Chua
Jui Meng mungkin mampu menipu orang Cina Muar kerana mereka adalah seperti orang
Melayu juga yang lebih gemar diam membisu daripada banyak bersuara. Lagipun Cina
Lunas sudah mengajar mereka apa yang perlu dilakukan satu hari nanti.
Pada
keseluruhannya kita lihat, segala gembar-gembur mengenai tuntutan Suqui itu telah
dijadikan satu modal besar oleh UMNO sehingga sanggup menggunakan pertubuhan
Melayu lain sebagai proksi melakukan sandiwara terbaru untuk mengalihkan
pandangan orang Melayu. Kita tahu perkara ini satu sandiwara lagi kerana pada hari
ini Paklah sudah disebut memberi ingatan bahawa ini bukan masanya untuk retorik
perkauman. Kita setuju dengan Paklah kerana hanya otak yang sempit mampu
mengalihkan perhatian daripada keadaan yang semput. Bukankah itu yang dijadikan
satu amaran ketika kempen Lunas bermula? Kenapakah Suhaimi Ibrahim tidak
menyedarinya?
Oleh kerana terlalu kerap isu hangat disensasikan tanpa
akhbar media menyorot latar belakang sesuatu isu itu, ramai pemimpin Melayu yang
tidak ada nama dalam arena politik UMNO, cuba menonjolkan diri untuk menempah
populariti. Mereka tidak sedar yang mereka perlekehkan ialah bangsa sendiri
walaupun tujuan mereka ialah untuk mengampu seorang diktator tua yang tidak punya
banyak masa lagi. Tetapi, itulah dasar dan amalan orang yang semput wibawanya
sehinggakan otaknya menjadi sempit bila memikirkan perkara yang serius untuk
kebaikan negara. Taktik menyanggah masyarakat Cina dengan cara
memperlekehkan memorandum Kumpulan Suqui menunjukkan betapa sempitnya otak
beberapa pemimpin muda di negara ini, sebenarnya. Seperti juga Mahathir,
pemimpin muda seperti ini tidak ada tempat dan relevan lagi di kalangan masyarakat
bangsa. Lagi cepat mereka sedar perkara ini, lebih selamat negara ini
akhirnya.
-marhaintua- 18.12.2000
|